Keblinger

Keblinger

Something Interesting about Titanic

| Wednesday, June 15, 2011
Alhamdulillah. Walaupun hanya menghabiskan masa di rumah, penulis sempat juga menonton dokumentari berkenaan dengan peristiwa tenggelamnya kapal Titanic pada tahun 1912. Peristiwa yang menggemparkan dan sehingga wujudnya filem Titanic pada tahun 1997 berdasarkan kisah sebenar. Tergerak hati penulis menukar saluran RTM 1 pada waktu petang khamis yang lepas. Dokumentari mengenai bagaimana Titanic boleh tenggelam sehingga menyebabkan 1500 orang terbunuh. Adakah disebabkan kru ataupun struktur kapal itu sendiri?

Titanic di dasar Lautan Atlantik

Setelah tenggelam pada 15hb April 1912, suatu inkues telah dibuat dan siasatan dijalankan dengan beberapa orang yang terselamat dipanggil memberi keterangan. Antaranya, pemilik kapal, Mr Ismay, pegawai kapal Titanic tertinggi yang terselamat, arkitek Titanic dan juga pegawai perhubungan kapal. Setelah ditonton, banyak sebenarnya kronologi kesilapan yang dilakukan bermula dengan pembinaan kapal Titanic itu, sehingga ke tenggelamnya kapal itu. Apa yang pasti, hampir 1,500 orang sudah terbunuh dan hanya lebih kurang 700 orang sahaja yang selamat.

Mr Ismay, pemilik Titanic

Apa kisahnya?Bermula dengan struktur binaan. Mr Ismay, pemilik kapal Titanic berkeinginan untuk membina sebuah kapal mewah yang besar dan membuat pelayaran sehingga ke New York. Kapal itu dibina dengan menggunakan besi dan bukannya keluli. Pada zaman itu, teknologi menggunakan besi masih belum diadaptasi dan kebanyakan kapal menggunakan keluli bagi mengelakkan mudah tenggelam. Pada masa yang sama, Mr Ismay meminta agar penghadang di bawah kapal direndahkan bagi membolehkan lebih banyak ruang lain untuk yang mengikuti pelayaran itu. Merendahkan penghadang itu membuatkan mudah bagi air memasuki dalam kapal sekiranya berlaku kebocoran. Tidak ketinggalan, Mr Ismay hanya memuatkan 16 buah bot penumpang. Dalam 1 bot hanya boleh memuatkan 65-70 orang penumpang. Cadangannya untuk membawa hampir 2,200 orang. Secara matematiknya, hanya 1000 orang sahaja yang boleh menaiki bot sekiranya kapal itu tenggelam. Baki lagi 1000?Kata Mr Ismay, kapal Titanic tidak akan tenggelam dan ruang penyimpanan bot boleh digunakan untuk mencantikkan lagi kapal tersebut. Itu berkenaan struktur kapal sebelum pelayaran.

Aisberg di Lautan Atlantik

Pelayaran Titanic sepatutnya bermula pada bulan Mac 1912. Apa yang berlaku adalah selepas musim sejuk. Berakhirnya musim sejuk membuatkan aisberg dari benua artik mula untuk cair. Kebiasaannya, laut atlantik akan terdampar beberapa aisberg yang tercicir dari ketulan aisberg yang besar. Tetapi, hanya 10% berjaya melepasi sehingga ke lautan atlantik selatan. Kebanyakan kapal yang melalui lautan atlantik akan mengarah ke selatan laut atlantik bagi mengelakkan aisberg. Kebetulan pada bulan itu, beberapa aisberg mula bergerak ke arah selatan Laut Atlantik. Ketika itu juga, perhubungan untuk amaran aisberg adalah melalui kapal-kapal yang berada di lautan yang sama. Sekiranya, ada kapal yang ternampak aisberg, mereka akan memberi amaran kepada kapal-kapal yang berdekatan ataupun yang akan melalui kawasan itu. Pelayaran Titanic bermula pada bulan April dan ketika itu ada beberapa aisberg telah sampai ke kawasan Lautan Atlantik selatan.

Kapten Smith

Kapten yang dilantik untuk mengemudi kapal itu ialah Kapten Smith. Kapten Smith seorang kapten yang telah menggemudi kapal selama 25 tahun. Titanic adalah merupakan pelayaran terakhir bagi beliau memandangkan beliau ingin berehat buat selama-selamanya dari bidang pelayaran. 25 tahun pengalaman boleh membuatkan ego menjadi terlalu tinggi. Ketika itu, sebuah kapal rosak dan Kapten Smith mengambil beberapa pegawai daripada kapal itu untuk dimasukkan ke dalam Kapal Titanic. Salah seorang pegawai tertinggi telah dipindahkan dari Titanic ke tempat yang lain. Pegawai itu mempunyai teropong yang digunakan oleh peninjau bagi melihat andai ada aisberg dari jarak jauh. Kebetulan, pegawai itu menyimpan teropong itu di dalam lokernya dan kunci dibawa bersama meninggalkan Titanic. Pegawai yang berada di anjung tinjau hanya menggunakan mata kasar sendiri untuk melihat andai ada aisberg dari jarak jauh. Pelayaran bermula pada bulan April 1912. Kapal Titanic dibahagi kepada 3 bahagian. Yang paling kaya, sederhana dan miskin. Layanan untuk ketiga-tiga golongan itu ternyata sangat berbeza.

Titanic

Bermulalah pelayaran Titanic. Ketika pelayaran, pelbagai amaran diperolehi oleh pengawai perhubungan. Ada 2 orang pegawai perhubungan di Titanic itu. Dan salah seorangnya adalah pegawai yang baru. Amaran aisberg telah diterima daripada sebuah kapal pada pagi 15hb April 1912. Amaran itu telah disampaikan kepada Kapten Smith. Kapten Smith dengan pengalaman 25 tahun telah mengarahkan agar kelajuan maksimum menghala ke selatan Lautan Atlantik bagi mengelakkan daripada bertembung dengan aisberg. Pada pagi itu juga, latihan kecemasan sepatutnya diadakan tetapi kapten mengambil keputusan untuk berada di gereja. Maka, latihan kecemasan tidak dijalankan dan tiada seorang pun yang mempunyai pengalaman andaikata kecemasan berlaku. Pegawai perhubungan sibuk bekerja menghantar mesej di antara penumpang kerana gaji sebagai pegawai perhubungan ketika itu sangat rendah. Jadi, untuk menambah wang pendapatan, pegawai itu mengambil upah menyampaikan mesej.

Akhbar mengenai tenggelamnya Titanic

Malam 15hb April 1912, salah seorang pegawai perhubungan berehat dan pegawai yang baru menjaga shif ketika itu. Pada malam itu, sebuah kapal telah menghentikan pelayaran kerana banyak aisberg terdampar di lautan atlantik. Kapal itu memberi amaran kepada Titanic tetapi pegawai perhubungan sibuk dengan kerja menghantar mesej. Sehingga kapal itu menghantar isyarat yang sangat kuat kepada pegawai itu. Terkejut dengan isyarat itu, pegawai tersebut mematikan isyarat Titanic. Marah dengan tindakan pegawai itu, kapal tersebut mematikan perhubungan dengan Titanic. Kapal itu adalah yang paling hampir dengan jarak masa 2 jam. Malam itu, dengan kelajuan maksima dan penuh kabus serta sejuk. Pegawai di anjung masih lagi menggunakan mata kasar dan sememangnya sukar untuk melihat kerana kabus yang tebal. Tiada teropong. Itu yang menyukarkan. Pada ketika itu, mereka masih lagi tidak sedar bakal berhadapan dengan aisberg yang besar.

Bagaimana Titanic boleh tenggelam

Semakin diperhati, akhirnya pegawai di anjung melihat sebuah aisberg yang besar. Amaran baru dibunyikan dan penggemudi kapal ketika itu hanya mampu mengelak. Tetapi, bahagian tepi Titanic telah bergeser dengan aisberg dan mengakibatkan kebocoran. Dengan kelajuan maksima tidak mustahil pengeseran itu mengakibatkan kebocoran pada bahagian kapal. Akibat kebocoran itu, air laut memasuki dalam bahagian kapal. Akibat penghadang yang rendah, bahagian 1 sehingga 5 dimasuki air dengan sangat cepat. Sekiranya bahagian 6 turut tenggelam, Titanic akan turut tenggelam. Ketika itu, pegawai perhubungan baru menghantar isyarat yang diperolehi daripada kapal lain kepada kapten. Kapten Smith mengarahkan pegawai perhubungan itu untuk menghubungi kapal lain bagi meminta bantuan. Hanya 1 kapal yang respon iaitu sejauh 4 jam jaraknya. Titanic akan tenggelam dalam masa sejam dan paling lama untuk bertahan adalah 2 jam kerana strukturnya yang menggunakan besi. Dengan tiada latihan kecemasan, 16 buah bot dikeluarkan. Ketika ini, penulis sudah terlepas untuk melihat dokumentari kerana urusan tertentu. Jadi, penulis menonton semula filem Titanic bagi mendapatkan cerita seterusnya.

Apa yang berlaku, kelas pertama dahulu yang dibenarkan menaiki bot. Kelas kedua dan kelas ketiga hanya mampu menunggu. Bagi memberikan layanan kelas pertama, bot yang sepatutnya boleh diisikan dengan 65 orang hanya diisi dengan 20 orang. Akibatnya, berlaku pergelutan dengan sifat tamak serta pentingkan diri. Titanic akhirnya tenggelam di dasar lautan Atlantik. Sememangnya Mr Ismay selamat tetapi hidup dengan mengharapkan pengampunan daripada hampir 2000 orang yang menyertai pelayarannya. Ramai yang rela berkorban ketika Titanic itu tenggelam antaranya Kapten Smith sendiri. Peristiwa yang ternyata memberikan pengajaran kepada dunia mengenai aspek keselamatan dan pelbagai kaedah diadaptasi antaranya sistem amaran ketika melalui Lautan Atlantik.

Ada unsur romantik dalam filem Titanic, banyak pengajaran jika benar kita hayati ceritanya. Bukan semata-mata untuk mengejar keromantikkan ataupun kemewahan.

Penulis hanya menulis melalui apa yang ditonton. Kemungkinan ada yang bercanggah tetapi itu adalah seperti apa yang ditonjolkan dalam dokumentari itu. ^_^

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 :::::It's Always About Me::::: Blogger Template by Dzignine