Keblinger

Keblinger

Pemerhatian dua mata ketika PRK

| Tuesday, February 22, 2011
Suasana Pilihanraya Kampus UTM

Alhamdulillah, selesai sudah pilihanraya kampus(PRK) bagi pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM untuk tahun 2011. Keputusan yang diumumkan semalam pada jam 12 tgh malam oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni iaitu Datuk Prof Dr. Tajudin bin haji Ninggal. Kesemua kerusi sebanyak 54 kerusi telah diisi oleh calon-calon yang menang. Baki lagi 3 kerusi yang patutnya diisi oleh Sekolah Pra Siswazah telah dibatalkan dan itu penulis tidak tahu dengan lebih lanjut. Mungkin pihak urusetia ataupun sebilangan jentera kedua-dua parti mengetahui mengenai perkara itu.

Pilihanraya kampus UTM berlangsung dengan dimeriahkan oleh kedua-dua parti iaitu Aspirasi Evolusi Mahasiswa dan juga Pro Mahasiswa. Kedua-duanya mendokong cita-cita dan misi beserta visi UTM yang dibawa oleh Naib Canselor. Bermula dengan pembubaran oleh MPM sesi 2010 pada 14hb Februari, selepas itu pada tarikh 17hb Februari adalah
sesi penamaan calon dan seterusnya proses pengundian pada 21hb Februari serta dikira penjumlahan undi pada malamnya untuk diumumkan pada hari yang sama. Tempoh berkempen bermula malam 17hb Februari sehingga jam 11.59 malam 20hb Februari. Pengundian bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 5.00 petang di fakulti masing-masing. Di fakulti penulis, seramai 300 orang tidak mengundi menjadikan 81.1% mahasiswa yang mengundi. Agak ramai dan kemungkinan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kelas pada hari tersebut.Sebilangan mahasiswa yang menunggu keputusan PRK

Dua parti iaitu Aspirasi Evolusi Mahsiswa dan Pro Mahasiswa. Penulis pernah dijemput untuk bertanding di bawah panji kedua-dua parti. Dua kali penulis menolak untuk menjadi calon. Walaupun disediakan dengan jumlah jentera yang ramai, mereka hanya menjadi jentera untuk membantu kemenangan ketika pilihanraya tetapi selepas pilihanraya, berapa ramai yang menjadi jentera untuk membantu mengangkat martabat universiti ber
sama? Akhirnya, penulis juga yang akan ditinggalkan keseorangan bersama-sama mereka yang turut sama menang dalam pilihanraya. Itu yang membuatkan penulis membuat keputusan untuk tidak bertanding. Janji mulut manusia memang manis tapi perlakuannya pahit belaka. Sememangnya penulis tidak berminat untuk menjadi MPM kerana memikirkan bebanan yang dipikul berdasarkan pengalaman sebelum-sebelum ini. Jadi, hormatilah keputusan penulis. Keupayaan manusia berbeza-beza dan itu yang kita perlu hormati bagi meraikannya.
Ketika penulis mengundi

Penulis berkesempatan melihat sesi penamaan calon. Ramai yang berada di dewan banquet dengan beberapa calon ditemani oleh pencadang dan penyokong. Pertama kali penulis melihat suasana penamaan calon dan penulis berpeluang berjumpa serta berborak dengan kedua-dua parti. Ada juga mata-mata yang memerhati gerak-geri penulis. Mungkin sedang mencongak di pihak mana penulis sokong. Nampak segak kesemua calon beserta pen
cadang dan penyokongnya. Penulis ketika itu cuba untuk mencari calon yang kemungkinan tidak mempunyai pencadang atau penyokong. Pengalaman sekali dalam seumur hidup untuk menjadi pencadang atau penyokong. Namun, tidak kesampaian kerana kesemuanya sudah siap lengkap persediaan masing-masing.

Seterusnya, tempoh berkempen. Kesemua jentera baik dari parti merah atau parti oren bertungkus lumus memasang poster calon-calon yang bertanding. Pada khamis malam, baru sedikit poster, sehingga hari ahad malam, UTM dipenuhi dengan
pelbagai cara pemasangan poster oleh jentera. Penulis berkesempatan melihat jentera Aspirasi Evolusi Mahasiswa memasang poster. Kelihatan ketika itu, seorang calon turut sama memasang poster beliau. Jika nak dibanding dengan yang lain, yang hanya seperti mando sahaja. Itu calon yang sepatutnya mendapat tempat di hati pengundi. Namun, itu di sebalik tabir. Tidak ramai yang mengetahuinya. Pemasangan poster juga turut menjadi bualan hangat pengundi. Pemasangan yang terlalu rendah sehingga sukar untuk berjalan mahupun makan. Sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua jentera baik oren atau merah. Mahasiswa turut mempunyai hak mereka masing-masing untuk makan dan berjalan dengan tenteram. Matlamat anda memang untuk memastikan calon anda menang tetapi perlulah hormat hak orang lain. Tidak hairan jika poster calon-calon dijatuhkan oleh pengundi sendiri kerana menafikan hak mereka. Bila itu yang berlaku, oren tuduh merah dan merah tuduh oren. Politik kampus = Politik luar? Tafsir sendiri.
Penggantungan poster yang rendah sehingga mencetuskan kemarahan beberapa mahasiswa

Rapat umum. Medan bagi calon-calon untuk berpidato atau menyampaikan manifesto masing-masing. Penulis hanya berpeluang untuk mendengar rapat umum oleh pihak oren di Arked Kolej 9 dan pihak merah di Kolej Perdana. Itupun ketika ahad malam iaitu malam terakhir sebelum proses pengundian. Bagi penulis, kesemua yang berucap penuh dengan gaya masing-masing dan lantang dalam bersuara. Kesemuanya mahu memperjuangkan mahasiswa. Apa yang diperjuangkan? Itu yang penulis masih kurang pasti. Jika isu wifi utm d
an parking yang dimanifestokan, itu sudah lapuk. Jika isu pelestarian kampus, sepatutnya dicadangkan kempen tidak menggunakan kertas. Penulis juga tidak menerima flyers calon kedua-dua pihak kerana hanya membazir kertas dan dibuang begitu sahaja. Bagi penulis, kedua-dua pihak sudah memberikan ucapan yang terbaik dan mampu menarik minat ramai mahasiswa untuk mengundi. Ada gaya seperti pilihanraya umum negara.
Ketika proses penjumlahan undi

Trend pengundian mahasiswa utm. Masih lagi memilih berdasarkan paras rupa atau memangkah ikut suka mereka. Kebanyakan mereka merungut kerana tidak mengenali calon. Di sini penulis cuba untuk merungkaikan persoalan ini. Siapa yang patut berjumpa siapa?Mahasiswa merungut tidak mengenali calon tetapi berapa ramai yang berminat untuk melihat rapat umum?Melihat dan mendengar manifesto calon-calon?Diajukan pula soalan oleh mahasiswa. Mereka yang nak meraih sokongan, kenapa kita pula yang kena pergi. Bukan patut dia yang datang pada kita?Kaedah yang dilakukan adalah kempen dari bilik ke bilik tetapi berapa ramai mahasiswa yang endah tidak endah kepada mereka?Calon juga mahasiswa. Mereka juga ada kerja masing-masing. Diajukan pula soalan seterusnya, siapa suruh nak bertanding?Alahai mahasiswa, mereka sudah sukarela untuk menjadi wakil anda. Apa yang terjadi jika tiada pemerintah di universiti?tidak kah kacau-bilau?Mereka mewakili secara sukarela. Tapi, persoalan seterusnya, naiklah sesiapa pun, sama juga. Tafsir sendiri.

Masa pengumuman. Di Dewan Sultan Iskandar. Kerusi yang sudah tersedia terbelah dua. Jika dilihat dari pentas, sebelah kiri adalah parti Pro Mahasiswa dan sebelah kanan adalah parti Aspirasi Evolusi Mahasiswa. Pada malam semalam, sememangnya agak ramai yang menanti keputusan pilihanraya. Bagi penulis, jumlah tahun ini lebih ramai jika dibandingkan dengan tahun lepas. Mungkin ramai mahasiswa sudah ada kesedaran politik di kampus. Tempat penulis di mana?kalau duduk di tangga tengah-tengah akan dihalau jadi penulis mengambil keputusan untuk berada di sesuatu tempat yang mungkin ramai tidak perasan penulis di situ. Sorakan dari kedua-dua pihak memang menggamit suasana. Ada beberapa kerenah jentera baik dari pihak merah atau oren ternyata membuatkan penulis menyampah. Selepas pengumuman dilakukan, ada pelbagai gelagat calon yang menang. Dalam hati penulis, "ini ke yang bakal memimpin mahasiswa utm?"Ternyata trend pengundi masih tidak berubah. Masih berlandaskan paras rupa. Bagi penulis, mereka sudah sukarela. Ini yang telah ditetapkan oleh takdir Allah. Penulis mengucapkan tahniah kepada yang menang. Kepada yang tewas, Allah mempunyai perancangan tersendiri untuk kalian. Lengkap sudah perjalanan pilihanraya kampus UTM. Pelbagai yang penulis sudah lihat dan rupanya di sinilah tempatnya bermula ketidakmatangan dalam politik yang menyumbang kepada politik negara. Dalam facebook, penuh dengan pelbagai provokasi dan tuduh menuduh. Semuanya cuba bermain dengan ayat. Penulis hanya mampu tersenyum. Calon hanya melihat, jentera yang melampau.

Coretan yang ditulis berdasarkan pemerhatian penulis selaku mahasiswa yang bebas. Mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tidak. Tetapi, penulis hanya melahirkan kata-kata melalui penulisan. Mungkin penulis tidak berada di tempat jentera mahupun calon tetapi mata yang melihat boleh menzahirkan perasaan. Penulis tidak memihak kepada sesiapa dan hanya mengikut apa yang benar. Tahniah buat kedua-dua jentera iaitu Aspirasi Evolusi Mahasiswa dan Pro Mahasiswa!


0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 :::::It's Always About Me::::: Blogger Template by Dzignine