Penulis sudah ke Seoul, Korea Selatan pada 8hb Disember - 14hb Disember. Tapi, belum berkesempatan untuk menulis di dalam blog. Jadi, penulis membuat keputusan untuk menulis secara berperingkat. Penulis bercadang untuk menulis mengikut hari pertama dan seterusnya. Mungkin lebih tersusun dan mungkin mengambil sehingga tempoh 5 bulan sebelum betul-betul tamat ceritanya. Pelbagai cabaran dan dugaan ditempuh sepanjang 10 bulan sebelum ke Seoul. Semuanya dilalui dengan sendirinya. Kami sekursus menempuhnya tanpa sebarang garis panduan. Kesemuanya sendiri dan itu sebenarnya pengalaman yang paling berharga. Kalau semua tanya orang, takde pengalaman membuat kesilapanlah kan?
Tanggal 8hb Disember 2010, saatnya sudah tiba tatkala jam memasuki pukul 12 tengah malam. Ketika itu, penulis masih lagi sedang mengemas barang untuk dibawa ke Korea. Masih lagi bingung barang mana yang hendak dibawa dan tidak. Makanan?haruslah penting. Maggi, coklat, roti dan sebagainya semua disumbat di dalam 1 beg yang besar. Pukul 1 pagi, penulis cuba melelapkan mata. Tetapi, agak gagal di situ kerana terlalu gemuruh untuk ke Korea Selatan. Jam 3 pagi, ibu penulis mengejut penulis. Bersiap-siap dengan mandi dan sebagainya memandangkan kami akan mula bergerah membawa barang jam 4 pagi. Awal pagi yang hening, sunyi dan sejuk. Kami berkumpul di Arked Kolej 9. Menanti bas untuk tiba sementara pelbagai pemeriksaan terakhir dilakukan. Akhirnya, kami bertolak daripada UTM jam 5.30 pagi menuju ke LCCT. Dalam perjalanan, perasaan gembira bercampur gemuruh. Akhirnya, kami tiba di LCCT jam 10.15 pagi dan menunggu beberapa lagi rakan penulis untuk sampai sebelum kami check-in beramai-ramai.Ketika di LCCT, penulis masih lagi sempat menghantar email kepada Afif di Dongguk University dan Hafiz di Korea University tentang kedatangan kami ke sana. Segala persiapan terakhir memandangkan kemungkinan kami tiada perhubungan bermula menaiki penerbangan sehingga ke universiti itu. Jam 11 pagi, kami semua mula untuk check-in tiket penerbangan. Barang sememangnya banyak dan kami dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memudahkan urusan. 36 orang untuk di check-in serentak. Sehinggakan kaunter itu ditutup khas untuk kami. Pastinya lama menunggu sehingga selesainya semua pada jam 12.30 tengahari. Seterusnya, kami masuk ke balai berlepas dan melepasi semua pemeriksaan keselamatan. Memandangkan zohor telah masuk, kami semua mengerjakan solat jamak & qasar terlebih dahulu. Tetapi, dalam keadaan kelam-kabut memandangkan kami perlu masuk ke dalam kapal terbang paling lewat adalah 1.30 petang. Penerbangan kami jam 1.55 petang.
Alhamdulillah, segalanya selamat dalam penerbangan. Jam 1.55 petang, kami mula meninggalkan dunia Malaysia. Penerbangan yang mengambil masa 6 jam 45 minit ke Incheon International Airport dari LCCT. Semuanya gembira. Muka ceria kelihatan di wajah setiap rakan penulis. Dalam penerbangan, haruslah berjalan-jalan. 6 jam 45 minit untuk duduk statik adalah satu kerja yang agak kurang munasabah. Kami juga sudah ditempah makanan dalam penerbangan. Taklah rasa tak tau nak buat apa. Semakin lama, semakin gelap cuaca kelihatan. Sudah semakin hampir dengan Seoul. Ketika memasuki ruang udara Korea Selatan, kami melihat pembentukan ais di tingkap menandakan sememangnya cuaca sangat sejuk. Kami juga berkesempatan melihat turunnya salji ketika penerbangan. Perjalanan 6 jam 45 minit semakin hampir ke penghujungnya. Akhirnya, jam 9 malam waktu Korea Selatan, kami tiba di Incheon International Airport. Kagum, terpesona, tidak percaya, gembira, jakun dan sebagainya bercampur baur.
Apabila memasuki bangunan terminal, kami sudah merasakan kesejukan. Tetapi, dikhabarkan itu sekadar kesejukan penghawa dingin. Kami perlu menaiki tren seperti di KLIA untuk ke bangunan terminal utama. Pemeriksaan passport dan sebagainya dilakukan dan kami semua mengambil bagasi masing-masing. Kami keluar dari balai ketibaan dan disambut oleh Mr. Vincent dan Mr. Lewis. Mereka adalah tour guide kami sepanjang kami berada di Seoul. Kami diberi masa untuk menukar pakaian yang lebih tebal kerana diberitahu cuaca ketika itu adalah -2 darjah celcius. Untuk ke bas, kami keluar dari bangunan terminal. Sememangnya sangat sejuk. Lebih daripada duduk di dalam air-cond. Mulut kami semua berasap dan kelihatan ais berada di atas jalan dan kenderaan. Dikhabarkan, sebelum kami tiba salji telah turun. Ketika kami tiba, salji sudah berhenti. Teruja perasaan penulis melihat suasana di Seoul. Kami terus dibawa ke Hotel Co-Op Omokyo di Yangpyeong, pinggir bandar Seoul.
Setibanya di hotel, semua masuk ke bilik masing-masing. Ada yang makan maggi, ada yang berjalan-jalan di luar dan ada yang sudah melelapkan mata. Pelbagai kerenah. Cuba mencari air-cond dan ada yang mengeluh kerana pintu bilik airnya lutsinar. Apa-apapun, kami semua telah selamat tiba di bumi Seoul. Bumi yang sudah menjadi impian kami untuk menjejakkan kaki sejak bulan Februari. Gembira tidak terhingga dapat dirasa. Badan penulis terasa amat penat kerana hanya tidur 2 jam dan menempuh perjalan sejak jam 5.30 pagi. Tidur malam itu walaupun kurang nyenyak kerana tempat baru tetapi perlu tidur memandangkan esok kami semua akan ke Dongguk University. Esok paginya apa yang terjadi?Penulis akan ceritakan dalam episod yang akan datang.
2 comments:
wah! entri yang sangat menarik ..pengalaman ke seoul....sy tunggu cerita awk yg seterusnya =)
Thank you..tapi lambat skit kot nak update seterusnya..tgh carik ilham menulis and gambarnya..hehehe..
Post a Comment